Rawatan bagi sakit buah pinggang boleh dilakukan samada di klinik atau di rumah. Proses penyingkiran sisa buangan dan bendalir berlebihan daripada darah anda dikenali sebagai dialisis. Rawatan ini dilakukan apabila buah pinggang anda tidak mampu lagi menjalankan tugasnya dengan baik. Melalui rawatan ini, darah anda akan dibersihkan melalui membran dengan rawatan dialisis buah pinggang.
Proses ini sama seperti yang dilakukan oleh buah pinggang yang sihat. Membran ini mungkin berbentuk semula jadi, seperti membran peritoneum atau berbentuk sintetik, seperti penapis alat dialisis.
Sisa buangan halus dalam darah anda akan mengalir melalui membran ini dan masuk ke dalam bendalir dinamakan dialisat semasa proses dialisis dan seterusnya membersihkan darah anda. Berikut merupakan antara kaedah rawatan sakit buah pinggang atau dialisis yang boleh anda lakukan.

Rawatan Dialisis Peritoneal (PD) Yang Dilakukan di Rumah
Semasa larutan dialisis berada dalam rongga peritoneum, Dialisis Peritoneal (PD) membersihkan darah anda dan bertindak sebagai penapis menggunakan dinding abdomen (membran peritoneum). Kaedah dialisis ini boleh dilakukan oleh anda sendiri atau dengan bantuan seorang penjaga samada di rumah, di tempat kerja, atau semasa mengembara tanpa perlu ke pusat dialisis.
Anda boleh memilih samada ingin melakukan rawatan dialisis peritoneal (PD) pada waktu siang atau semasa anda tidur. Justeru itu, anda boleh merancang jadual harian anda dan rawatan dialisis dengan fleksibel. Kaedah rawatan Dialisis Peritoneal (PD) ialah rawatan yang perlu dilakukan setiap hari.
Hemodialisis Di Lakukan Di Pusat Rawatan Dialisis (HD Di Pusat)
Di bawah pemeriksaan pakar klinikal anda, Kaedah Hemodialisis (HD) boleh dilakukan samada di hospital atau klinik. Rawatan ini memakan masa 3 hingga 5 jam bagi setiap kali rawatan. Kaedah dialisis buah pinggang secara hemodialisis anda akan dipantau dengan rapi dan anda boleh bertanya apa-apa soalan secara bersemuka. Oleh kerana anda perlu pergi ke pusat dialisis, anda akan dapat bersama pesakit lain yang menerima rawatan untuk buah pinggang yang sama.
Hemodialisis di Rumah (Home HD)
Kaedah rawatan Hemodialisis di Rumah (HD) ialah rawatan yang biasanya dilakukan 3-6 kali seminggu. Hemodialisis (HD) membersihkan darah anda dengan menggunakan alat dialisis yang mempunyai mesin dan membran sintetik.
Dengan sokongan seorang penjaga, HD boleh dilakukan di rumah anda sendiri sama ada pada waktu siang atau semasa anda tidur sama seperti dialisis peritoneal (PD). Keupayaan untuk merawat tanpa bantuan pakar klinikal membolehkan anda merancang jadual rawatan anda mengikut waktu sekolah, kerja, atau aktiviti lain.
Pilihan Rawatan Lain Bagi Penyakit Buah Pinggang Selain Dialisis
Rawatan lain bagi sakit buah pinggang juga boleh anda pertimbangkan selain dialisis. Pembedahan pemindahan buah pinggang juga turut boleh dilakukan jika anda memenuhi syarat yang ditetapkan. Cara ini memerlukan anda untuk mempunyai seorang penderma yang mempunyai buah pinggang sihat untuk diletakkan ke dalam badan anda.
Buah pinggang yang baru ini akan berfungsi sama seperti buah pinggang anda sendiri ketika sihat dahulu. Penjagaan konservatif tanpa rawatan dialisis juga mungkin menjadi pilihan yang sesuai bagi sesetengah pesakit.
Berbincanglah dengan pakar kesihatan anda bagi menentukan kaedah rawatan yang sesuai kerana bukan semua rawatan dialisis sesuai untuk keperluan fizikal, klinikal, emosi dan gaya hidup anda. Anda perlu serasikan kaedah rawatan dengan gaya hidup anda dan juga berkaitan kos rawatan dialisis juga perlu disesuaikan dengan tahap kemampuan kewangan diri anda.
Kesimpulannya, walau apa jua kaedah rawatan dialisis yang anda lakukan anda perlu mengutamakan kesejahteraan fizikal dan emosi sepanjang rawatan buah pinggang dilakukan. Fikirlah secara positif dan menjaga gaya hidup dan pemakanan secara sihat disamping anda perlu mengelakkan perkara yang boleh menjadi punca sakit buah pinggang menjadi semakin buruk.